Saturday 9 July 2011

Koleksi Puisi BERSIH



Teringat pula zaman belajar Sejarah di sekolah dahulu. Lembaian buku teks yang aku selalu sahaja cemuh akibat sifat penceritaanya yang bias. Tapi, aku tertarik pada topik yang menceritakan tentang peranan sastera dan penulisan dalam membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu. Nah, sekarang, puisi kembali berperanan. Menyedarkan penduduk bangsa Malaysia agar bangkit, menuju kemerdekaan Malaysia kali ke-dua. Menuju Malaysia Baru.

Puisi: A. Samad Said
Muzik: Az Samad
Peludah Warna
Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.
1. 7. 11. A. SAMAD SAID



Puisi : A. Samad Said
Muzik : Az Samad
Unggun Bersih
Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.
24—25, 6.11. A. SAMAD SAID

No comments:

Post a Comment